KUCHING, 10 Oktober 2021 – Pasangan P. Ramlee dan Saloma sememangnya mengembalikan nostalgia kepada kita dan kisah kehidupan mereka telah diberikan nafas baharu di dalam persembahan ‘Kisah Aku Dan Dia’ sepanjang pementasan Teater Muzikal Irama Dan Lagu.
Bersempena dengan perayaan Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang ke-85, Teater Muzikal Irama Dan Lagu mengangkat kehidupan allahyarham P. Ramlee dan Saloma dalam industri hiburan tanah air. Sinonim dengan gelaran anak seni serba boleh, karya-karya P. Ramlee telah diiktiraf di pelbagai negara-negara Asia Tenggara dan Eropah. Filem dan lagu allahyarham sentiasa diselitkan dengan nilai-nilai murni dan pengajaran kepada penonton.
Acara utama pada malam ini iaitu ‘Kisah Aku Dan Dia’, menampilkan persembahan daripada Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Fairuz Misran, Ningkan Norman, Nur Hijrah Yahya, Afif Tenor, Chien Ng dan Mal Imran dengan diiringi oleh Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) serta penggiat seni daripada Tini Tyrani Event Management.
Tini Tyrani selaku pengarah dan pengurus persembahan ‘Kisah Aku Dan Dia’ berkata, “Mesej cinta itu universal. Mahupun di dalam atau luar filem kisah cinta manusia yang dilalui oleh mana-mana seniman menjadi hiburan dan teladan yg tidak langsung sepanjang zaman.”
“Mesej utama yang ingin disampaikan adalah bahawa cinta itu sesuatu yang indah, dan ianya mendidik manis dan pahitnya kehidupan,” kata Yume Suryani selaku penerbit Teater Muzikal Irama Dan Lagu.
Teater muzikal ini bersiaran langsung menerusi TVS Saluran 122 Astro dan MYTV dan juga serentak di Facebook TVS dan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada pukul 8.45 malam.

Vivamus sagittis lacus vel augue laoreet rutrum faucibus dolor auctor. Praesent commodo cursus magne, vel scelerisque nisl consectetur et